nuffnang

Wednesday, June 13, 2012

Cinta Malam .. Mimpi (b.9)



Melangkah dengan perlahan setelah pintu dibuka, Diana berhati hati agar tidak mengejutkan ibunya serta Daniel yang mungkin sedang nyenyak tidur.

“Diana , Kamukah itu?” kedengaran suara ibu dibalik pintu kamar yang tertutup rapat.

“Ya, bu” dengan sedikit perasaan kesal kerana usahanya tidak menjadi dia menjawap. Langkah yang pada asalnya mahu terus ke kamarnya kini telah beralih menuju ke bilik ibunya.

“Ibu belum tidur lagi?” soalnya sebaik saja terlihat kelibat ibunya yang sedang duduk di birai katil sambil tangannya mengusap manja rambut Daniel yang sedang tidur lena.

“Belum. Belum ngantuk sangat ni. Daniel pun baru je tidur sebentar tadi,” balas ibunya segera. “Kamu, kenapa awal pulak balik hari ni? Dahlah tu, nampak gembira semacam je, ada apa?” sambung ibunya lagi.

“Diana tak kerja malam ni, bu. Tadi Diana di ajak kawan makan. Malah Diana akan sering pulang awal mulai malam ini,” tersenyum riang Diana menjawap pertanyaan ibunya.

“Baguslah tu. Dahlah. Pergi mandi sana. Biar Daniel tidur dengan ibu malam ni. Kamu rehatlah. Esok kita cerita panjang,” kata ibunya.

“Baiklah, bu,” sambil memeluk ibunya kemudian mengucup dahi Daniel sebelum melangkah keluar.

Selesai mandi dan mengenakan baju singlet tanpa bra serta seluar pendek, pakaian yang biasa dikenakan untuk tidur, Diana berbaring di atas katil yang bercadarkan warna biru muda, warna kegemarannya. Tanpa sedikit pun rasa mengantuk, Diana membiarkan lampu kamarnya terus menyala. Jendela yang terbuka sedikit memberi ruang untuk angin masuk dan sekaligus menyejukkan bilik yang sederhana besarnya itu.
Ternyata ketampanan dan sikap sopan santun yang ditunjukkan oleh Dhani telah memikat hatinya. Wajah Dhani, walaupun kelihatan agak pucat serta mata yang redup tanpa sinar namun misteri di sebalik wajah itu telah membuat Diana ingin terus merapati Dhani. Bibir yang kurang mengeluarkan senyuman itu menimbulkan seribu tanda tanya buat Diana. Memiliki tubuh tegap serta rambut yang sentiasa disikat rapi menjadikan penampilan Dhani sememang membuatkannya idaman ramai wanita. Dalam sepi, Diana cuba mengingati satu persatu rupa dan bentuk fizikal Dhani. Dalam angan, Diana cuba menikmati kebahagian bersama Dhani. Dalam mimpi, Diana cuba merasa kehangatan saat berada dalam pelukan Dhani.

Tapi Diana tahu dan sedar, segalanya sukar untuk direalisasikan. Walau seindah mana pun harapan yang direkanya, walau secantik mana pun impian yang diciptakannya, Diana yakin yang harapan dan impian itu kelak hanya tinggal satu mimpi yang akhirnya meruntun jiwa dan menyakitkan dirinya sendiri. Diana sudah pasrah dengan nasib yang menimpanya. Cuma kini dia perlu menyediakan secukupnya buat anaknya agar nanti tiada masalah lain yang akan timbul. Satu perkara itu yang sangat dirisaukannya buat masa ini dan cuma itu yang membuat dia terus tabah menghadapi setiap hari dengan penuh kenyakinan.

Soal hati dan perasaan, tiada siapa pun yang bisa menduga apa yang tersirat dan apa yang bakal tiba. Walaupun begitu yakin dengan jodoh dirinya namun Diana tidak bisa juga menafikan terselit harapan mahu hidup bahagia bersama orang yang dia cintai. Mahu tidur lena di dalam pelukan yang dinamakan suami. Mahu bermanja bergurau senda bersama lelaki yang digelarnya kekasih. Mahu menangisi kesakitan dan kesedihan beralaskan bahu lelaki yang dipanggilnya sayang. Diana seperti jutaan wanita lain mahukan belaian dan cinta dari seseorang lelaki. Dan wajah Dhani yang muncul di setiap angan Diana sehingga akhirnya Diana terlelap.

Keadaan gelap, hanya sedikit cahaya bulan yang berjaya menembusi dari celah celah daun yang lebat. Berpandukan cahaya yang samar samar, Diana mengatur langkah dengan penuh berhati hati agar tidak tersandung akar dari pokok pokok yang besar disekelilingnya. Langkahnya yang perlahan bertambah perlahan di halangi rimbunan semak samun serta onak duri yang tumbuh liar memenuhi sekitarnya. Tanpa mengetahui arah tuju, Diana terus melangkah, sesekali berhenti cuba mencari jalan yang betul namun kegelapan serta pokok pokok besar dan semak samun membatas penglihatannya sehingga dia berada di hadapan satu pokok yang teramat besar. Pokok yang jauh lebih besar dari pokok-pokok yang lain, warna batangnya juga agak cerah dari pokok yang ada sehingga menampakkan garis garis usianya. Akarnya yang besar juga timbul di permukaan tanah hampir di litupi oleh daun daun kering yang tebal. Selain dari saiz dan warna yang berbeza, tiada yang aneh terlihat pada pokok itu berbanding dengan pokok disekitarnya. Cuma kewujudannya secara tiba tiba di hadapan Diana menimbulkan rasa ingin tahu pada diri Diana. Setelah berdiri sejenak tanpa membuat apa apa keputusan akhirnya Diana meneruskan langkah dengan mengelilingi pokok tersebut.

Sebaik saja Diana berada di sebaliknya, pokok yang besar tadi lenyap dari pandangan, begitu juga dengan pokok pokok yang lain. Seketika berada di dalam satu hutan yang agak tebal kini Diana mendapati dirinya berada di satu padang yang luas. Tiada apa yang kelihatan selain rumput pendek hijau luas saujana mata memandang. Tadi gelap kini terang bagai diterangi matahari tengahari namun bahang kepanasannya terasa sejuk enak menyentuh kulit. Sayup sayup kedengaran namanya dipanggil. Menoleh kearah suara itu, Diana terpandang satu kelibat manusia. Jarak yang jauh hanya menampakkan bentuk tubuh tetapi Diana yakin yang suara dan tubuh itu milik Dhani. Dengan segera Diana mempercepatkan langkahnya dan akhirnya Diana mula berlari cuba mendapatkan Dhani . Namun semakin laju dia berlari semakin jauh pula kelibat itu terasa. Tanpa mengenal penat lelah, Diana terus berlari.
Langit yang cerah dengan tiba tiba dipenuhi awan hitam tebal. Angin mulai bertiup dari perlahan sehingga akhirnya menjadi satu ribut yang ganas. Dentuman guruh dan percikan petir sambung menyambung. Segalanya yang berubah dalam sekelip mata tidak mengganggu larian Diana. Tekad yang bersemadi di dalam hatinya telah menguatkan semangatnya untuk terus mendapat kan Dhani. Kelibat yang semakin hampir dengan dirinya kini telah mulai kelihatan lebih jelas menambahkan kenyakinan yang berdiri di situ adalah Dhani.

Tanpa di duga, Kelibat yang disangkakan Dhani juga mulai berubah saat Diana sudah begitu hampir denganya. Dari susuk tubuh seorang lelaki, ia menjadi semakin besar. Kelihatan matanya yang merah menyala, mulutnya yang menganga menampakkan sepasang taring yang panjang. Dua tanduk jelas kelihatan muncul dari kepalanya, tubuhnya yang besar seakan membongkok bersedia mahu menerkam mangsa yang lewat di depannya. Ngeri dan menakutkan, Diana mulai menjerit sekuat hatinya.

Dibaringannya, Diana merasakan dirinya berpeluh, tersedar dari satu mimpi yang ngeri seakan akan benar benar terjadi menjadikan Diana takut untuk kembali beradu. Persoalan demi persoalan muncul di kepalanya. Cuba meleraikan dan mentafsirkan mimpi yang baru dialaminya, Diana kebuntuan. Pengertian yang diperolehi hanyalah satu kemungkinan yang perkara buruk bakal terjadi tetapi apakah kaitannya dengan kemunculan Dhani, Diana masih kebingungan. Melihat kearah Jam dinding yang tergantung di muka pintu, tepat menunjukkan pukul 2.00 pagi. Lampu yang masih menyala dibiarkan terus menyala. Takut untuk memejamkan mata, Diana mengambil majalah yang terletak di atas meja sudut di kamarnya dan mulai membaca, cuba melenyapkan ketakutan yang mula bersemadi di dalam hati.

No comments: