nuffnang

Wednesday, November 30, 2011

Cinta Merah... (7/7 final episode) .. selamat jalan..



Aku masih disini, di kedai kopi ini, orang semakin ramai namun aku seolah olah tak kelihatan. Lalu lalang mereka lewat depan ku seakan hadirnya aku tidak dipedulikan. Mata mereka memandang kosong kearah aku bagaikan tiada jasadku. Tanpa sapa tanpa senyum mereka mujur mengambil tempat tersedia, terdengar gurau senda mereka, terdengar gelakan riang mereka. Tidakkah mereka tahu ada sekeping hati yang merintih? Tidakkah mereka sedar ada jiwa yang menangis? Tidakkah mereka kisah sekiranya tawa suka mereka menyakitkan hati aku? Atau sememangnya mereka sengaja.

Satu persatu ku perhatikan insan yang melintas lalu, satu persatu wajah ku tatap namun gadis yang ku tunggu tak kunjung tiba. Aku telah menunggu di sini sejak hari itu. Disini semuanya bermula dan di sini juga semuanya harus berakhir. Aku teringat apabila impian aku berkecai. Mimpi indah bertukar ngeri. Bukan takdir yang aku salahkan namun aku tetap kecewa dengan nasib yang menimpa.



Malam itu, setelah berbicara dengan ayah dan ibu Tina, aku mengucapkan selamat malam dan ku kucup dahi Tina, berat kaki melangkah namun sudah tiba masanya untuk aku pulang.. Dengan rasa hati yang bagaikan bunga di sirami hujan di musim kemarau, aku cukup gembira setelah mendengar apa yang dikatakan ayah dan ibu Tina. Sememangnya aku mengharapkan yang terbaik untuk Tina dan aku mengharapkan hubungan yang di restui kedua ayah dan ibu Tina. Dengan status duda ku , Tina yang mulai mekar bakal menjadi milikku, seumpama mimpi indah jadi kenyataan. Aku mengiringi lagu yang di mainkan di radio dengan siulan aku. Satu persatu angan angan ku bina sambil aku memandu meredah gelap malam di temani bulan penuh yang ternyata juga gembira dengan khabarku.

Pancaran lampu terang tiba tiba muncul di pandangan menggangu lamunanku, bunyi hon menyedarkan aku dari mimpiku. Aku sempat mendengar satu letupan yang kuat sebelum aku terasa badan ku melayang dan akhirnya aku terhempas. Aku sedar saat mendengar pekikan orang meminta tolong. Aku sedar ada kata kata yang cuba mententeramkan aku, kerongkongku bagaikan tersekat batu besar sukar untuk bersuara. Dada yang sakit seakan dihempap seribu tiang belian membuat pernafasanku terganggu. Seluruh tubuhku terasa sakit.Terdengar bunyi siren terlihat lampu kelip kelip. Aku tumpas dan akhirnya aku terpejam.

Sehingga aku dikejutkan semula oleh suara suara halus yang membisik di telinga, esakan esakan kecil menimbulkan tanda tanya. Dengan segala kudrat yang ada aku membuka mataku, bau yang amat aku kenali sewaktu memasuki ruangan hospital, warna dinding yang putih menyakinkan aku dimana tempat aku berada. Masih kedengaran esakan di campur suara memanggil mangil, "daddy, daddy..".

Walaupun agak payah namun aku berjaya menoleh ke arah Sara. Wajahnya sayu, matanya pudar berkaca menatap mataku, pipinya basah, bibirnya tergetat getar cuba menahan esakannya, menyentuh hatiku membuat aku turut mengalirkan air mata. Dia mencapai tangan aku yang tak bisa aku gerakkan. Di ulas ulasnya, di cium ciumnya berulang kali, mahu aku bangun dan memeluknya, namun aku tak berdaya. Mahu aku mengesat air mata yang dibiarkannya jatuh ke pipi, pun aku tak berdaya. Sedih dan hiba aku rasakan, tapi aku tak mampu berbuat apa apa untuk menenangkan Sara. Ibunya yang berada di sampingnya juga gagal untuk memujuk dia.

Sekilas pandang terasa Tina turut berada di situ, tapi ternyata itu hanya bayangan yang bermain di sebalik kenyataan. Mana Tina? Aku mahu Tina juga berada di samoing aku. Ku tahan suara hati daripada bertanya takut menyinggung perasaan ibu Sara, tapi seolah olah telah membaca apa yang aku fikirkan, Lisa, bekas isteriku berkata,"kejap, aku panggilkan Tina di luar sana," sempat dis berbisik sesuatu kepada Sara sebelum dia melangkah pergi.

Sedetik semula muncul Tina, dengan baju kurung berwarna kuning langsat serta bunga yang jadi hiasan dia menghampiri baringanku. Tunduk sambil jarinya mengesat air di hujung matanya. Tanpa sepatah kata, dia cuba tersenyum padaku, namun jelas kelihatan dia cuba menyembunyikan kesedihannya. Tangan aku yang dari tadi di genggam oleh Sara turut disentuhnya. Tiub yang dimasukkan melalui hidungku menyusahkan aku untuk membalas senyumannya. Terpandang oleh ku, Tina mengucup hujung kepala Sara, sedetik itu, aku merasakan sangat gembira.



Bagikan jantungku disentap terasa seakan nafasku terhenti. Aku menggigil kerana terasa sejuk yang amat sangat. Pandangan wajah Tina dan Sara mulai kabur. Sementara ku dengar Sara semakin kuat esakannya diselang suaranya memanggil aku. Terdengar juga oleh ku, Tina memanggil doktor, tangisan yang cuba di tahan kini terlepas.

Duniaku semakin kabur dan akhirnya gelap. Sayup sayup kedengaran suara memanggil namaku. Ku usahakan untuk membuka kembali mataku namun tak berjaya. Ku cuba menyahut panggilan itu, juga tak berhasil. Segala kemahuan aku tak dapat aku lakukan. Kaku. Bisu. Gelap. Walau tubuhku terasa ringan dan dalam sedarku aku tak mampu berbuat apa apa.

Di hujung sana, satu cahaya kelihatan. Kaki ku melangkah menghampiri. Suara suara yang memanggil kedengaran jauh mulai menghilang. Satu persatu langkah aku aturkan, semakin dekat semakin cepat langkahku, semakin aku menghampiri, semakin jauh rasaku. setelah puas berjalan dan berlari akhirnya aku tiba di satu pintu. Cahaya yang keluar melalui pintu memncar mengenai mataku, menghalang pandangan ku. Perasaan ingin tahu memujuk aku untuk terus melangkah dan melihat apa yang ada di sebalik pintu.

Hadirnya aku di kawasan ini menambah kebingungan aku. Apakah ertinya? Kenapa perlu aku berada di tempat ini? Tempat yang di penuhi dengan kesedihan. Tempat yang di buai tangisan kehibaan. Tempat yang cuma di hiasi kepingan kepingan batu disertakan nama seseorang. Mengapakah pintu itu membawa aku ke tempat ini, tanah perkuburan ini? Apakah ertinya, aku.....

Disana, sekumpulan orang berpakaian serba hitam sedang berkumpul. Aku merapati. Tina, Sara bersama ibunya, orang orang yang aku rapat dan kenali, abang, kakak, ayah, ibu, kawan kawan ku semuanya berada di sini. aku terus menghampiri. Kehadiran aku sedikit pun tak mengganggu paderi yang sedang menatap buku di tangan. Kemunculan aku di kalangan mereka juga langsung tidak di endahkan. bergerak aku di antara mereka, namun tak seorang pun sedar adanya aku, cuma tangisan mereka. Malah Tina dan Sara turut menangis, tunduk melayan fikiran masing masing. Paderi menutup bukunya, segumpal tanah di lemparkan arah lubang yang telah tersedia. Keranda kayu berkilat tersimpan di dalamnya, bunga bunga bertaburan di permukaan. Satu persatu mereka melemparkan tanah sebelum di timbus sepenuhnya. Satu persatu mereka mulai meninggalkan setelah meletak lilin serta bunga. Tina, Sara dan ibunya, yang terakhir, Sara seakan enggan pergi, meronta ronta minta dilepaskan saat ibunya mengangkat dia kepinggang. Dengan langkah longlai, Tina juga turut pergi, sesekali memandang ke arah tanah kubur yang masih merah. Kosng kini, cuma tinggal aku. Aku hampiri batu nisan dan membaca tulisan yang terpampang namaku , Daniel Scoffield.




Di sini aku, dikedai kopi. Di sini aku masih setia menunggu. Aku yang belum bersedia umtuk melangkah pergi kerana masih berpegang janji kepada Tina akan tetap disini dan akan terus disini walau harus menunggu hingga ke akhir zaman. Sememangnya dunia aku bukannya dunia orang yang disekelilingku. Sememangnya aku tak berpijak pada bumi orang yang ada di kedai ini. Sememangnya aku tak lagi wujud dalam hidup setiap insan yang melewatiku.

Hari mulai mendung, guruh mulai kedengaran, angin mulai bertiup kencang, kilat juga mulai memanahkan cahayanya. perlahan lahan bunyi bumbung kedengaran di timpa hujan sebelum menjadi semakin cepat. Orang yang ramai beransur meninggalkan tempat masing masing. Lengang dan sepi. Ribut angin serta hujan bagaikan cuba merobohkan kedai ini, cuba mengusir aku, namun aku tetap berdiri teguh, masih tetap menanti.

Dalam hujan lebat, samar samar muncul satu bayangan menghapiri kedai. Dari setitik cahaya kini mulai berbentuk seorang gadis, berbaju gaun putih. Semakin menghampiri semakin jelas kelihatan. Seakan akan mengeluarkan sinar, gadis yang muka tertutup oleh topeng renda yang tersambung pada topinya, melangkah terus menghampiri aku. cuma kelihatan senyumannya. Senyuman yang sangat sangat aku rindui. Senyuman yang aku tunggu, senyuman milik Tina. Tina sudah sampai tapi aku tak menjangka kedatangannya sebegini.

"Daniel, maafkan Tina," tegur Tina bila aku memandang wajahnya dengan dahi yang berkerut. Wajah aku yang penuh dengan persoalan mungkin dapat di baca Tina.

"Maafkan Tina, Daniel. Tina sakit sendirian di luar sana. Tina tak sanggup hadapi semuanya. Tina mahukan Daniel. Tina perlukan Daniel." sambungnya lagi.

"Tapi Tina, ini bukan caranya. Ini bukan jalan yang harus Tina pilih. Tina punyai masa depan yang panjang, Tina kena akur dengan apa yang Tuhan suratkan buat kita," ujar aku.

"Daniel, Daniel tak faham perasaan Tina! Tina kesunyian. Tina kesepian. Tina mahu bersama Daniel sebab itu Tina lakukan semuanya. Tidakkah Daniel hargai apa yang Tina telah korbankan untuk cinta kita? Tidakkah penting untuk Daniel bersama Tina lagi?" balas Tina semula.

"Tina, aku mahu semua yang kamu mahukan. Aku faham perasaan kamu kerana itu juga yang aku rasakan. Aku juga menghargai segala yang kamu lakukan untuk mempertahankan cinta kita. Aku mahu terus bersama kamu sehingga luputnya masa tapi kuasa kamu juga kuasa aku tidak cukup besar untuk melawan takdir. Kita tak mungkin bersama kalau Tina menentang takdir. Aku masih sanggup menunggu, aku juga akan terus di sisi kamu saat kamu rindukan aku," panjang ulas ku.

"Daniel... tapi bagaimana harus Tina hadapi semuanya seorang diri? Perlukah Tina terseksa lagi? Perlukah Tina menangis mengubat batin sepi sendiri? Daniel, Tina tak akan mampu tanpa Daniel. Tina tak akan bahagia jika tiadanya Daniel."

"Tina, walau apa pun alasan kamu, kamu sendiri tahu kita tak mungkin bersama seandainya kita menentang takdir. Maka akan sia sialah pengorbanan kamu. Apa pun yang kamu hadapi di luar sana nanti, pasti kamu berjaya mengatasinya kerana aku tahu, Tina ku, seorang yang tabah dan kuat. Takdir yang telah menemukan kita, biarkan takdir memisahkan kita dan izinkan takdir yang menyatukan kita semula kelak." jawap ku.

"Dah Tina. Kesatkan air mata kamu. Biarkan ianya menjadi airmata terakhir. Tiada lagi kamu perlu menangis selepas ini. Sudah cukup kamu terseksa. Sudah puas kamu sengsara. Kembalilah kamu. Aku akan sentiasa memerhati kamu. Kamu akan merasai saat hadirnya aku dan saat itu, kamu akan tersenyum", sambungku bila melihat Tina hanya tunduk diam.

"Kamu akan kembali ke tempat di mana seharusnya kamu berada dan izinkan aku meneruskan perjalanan aku yang jauh. Berbahagialah kamu sebagaimana aku pernah merasa bahagia ketika aku menemani kamu," terus ku.

Tina cuma tunduk. Aku merapatkan telapak tangan ku ke pipinya yang basah. Ku angkat wajahnya dan menatap ke dalam matanya. Ku ukirkan senyuman sebelum ku kucuo dahinya. Ku rapatkan bibirku ke telinganya dan ku bisikkan,"Selamat tinggal Tina, selamat tinggal sayang,"

Badan ku terasa ringan, bayu yang datang sepoi sepoi melayangkan aku, Tina yang masih diam cuma merenung ke arahku. Dengan air mata yang masih terus mengalir, dia berjaya hadiahkan senyuman yang paling indah untukku. Semakin jauh aku meninggalkan Tina dan akhirnya, Tina lenyap dari pandanganku.



Tina membuka matanya perlahan lahan. Wajah ibu serta ayahnya kelihatan. Suara ibunya menyebut namanya. Ayahnya yang tak putus putus mengucapkan syukur turut kedengaran. Tina tersenyum,"Daniel, kerana cinta Tina pada Daniel akan Tina teruskan hidup. Semoga takdir akan mengasihani Tina dan akan menyatukan kita kemudiannya. Selamat jalan Daniel," katanya dalam hati.

2 comments:

T-ara Arzeillia said...

sedihnya...kenapa lah begini akhirnya cinta mereka ni...sian tina

Unknown said...

emmm .. sememangnya kita tak akan menduga adanya hujan di tengah hari